Friday, June 12, 2020

Manusia X'klusif

Circa 2007.
Kami ke Cherating, boys' trip. Ahli rombongan tersebut dah jadi orang sekarang, ada yang dah jadi pengurus, ada yang jadi bisnesman, yang jadi pegawai polis pun ada. 

Di Cherating, kami sempat luang masa di Payung Cafe. Tauke Payung Cafe ialah de facto godfather of Malaysian reggae. Takda siapa yang pertikai. 

Selepas Cherating, sempat juga aku tonton aksi beliau di pentas2 pesta indie di sekitar ibu kota. Ada juga album beserta tandatangan yang aku tak pasti di mana duduknya sekarang. 

Tahun sudah, aku serempak lagi susuk sama di Amcorp Mall, sempat juga aku tegur dan bersalaman. Rupanya itu kali terakhir. 

Hari ni, aku terima khabar bahawa Tone Poe sudah jalan ke dunia akhirat. 

Terima kasih untuk musik dan kenangan. 
Selamat jalan.

Monday, June 1, 2020

Antara Itu Dengan Ini

Proses mendewasakan diri ialah satu proses yang perit dan tak pernah datang secara semulajadi. Aku semahunya enggan jadi dewasa, enggan jadi sebahagian dari norma resmi insan. Aku semahunya hendak kekal di usia belasan tahun.

Kekangan paling utama dalam proses mendewasakan diri ialah mencari kiblat dan halatuju atau definisi dewasa itu sendiri. Hedonisme yang bercambah dikala remaja bukanlah sesuatu yang boleh dibuang dalam sesaat. 

Ramai yang menganggap kedewasaan akan datang dengan peningkatan usia, ini teori yang lemah. Usia yang meningkat tak membawa apa-apa, kecuali beban dan masalah yang berganda. 

TAPI

Sebagai manusia, kita ada kurnia yang tak punya dek makhluk lain, akal. 

Kalau diikutkan terus rasa enggan mau dewasa, mungkin saja aku kini akan tersadai dijalan tanpa hala tuju, mabuk dan busuk. Mungkin juga aku akan menagih heroin atau apa saja sumber nikmat dunia yang tercapai dek tangan. 

Hakikatnya, aku bukanlah manusia yang selalu lurus dan tau apa yang elok untuk aku. Tapi, sepanjang jalan dalam mendewasakan diri, aku belajar dan cuba kurangkan buat salah. Bunyinya dangkal, aku tahu, manusia mana mungkin boleh lari dari bikin kesalahan. 

Di usia yang kini, dengan dua orang anak, aku masih rasa ralat untuk jadi dewasa sebenarnya, tapi aku sudah janji dengan diri sendiri bahawa setidaknya aku akan cuba untuk kurangkan buat salah, walaupun payah nak jadi dewasa. It's working well for me so far. 

Seminggu dua ni, aku mula banyak membaca semula. Okey, aku banyak baca buku fizikal semula. Waktu muda aku memang banyak diisi dengan buku. Hiburan murah pada hemat aku. Sekarang, aku jumpa semula tujuan aku pegang buku dulu: untuk kurangkan buat salah.